HULU SELANGOR 29 April – Pemuda UMNO Selangor mendesak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap provokasi oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mencantumkan logo UMNO dan DAP pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Sabtu lalu.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Imran Tamrin, berkata tindakan jelas menyalahi Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Tindakan itu memang jelas dan sengaja dilakukan PN melalui penyokongnya dengan niat jahat mendatangkan rasa sakit hati atau tidak senang yang boleh membawa perpecahan undi kepada PN.
“Tindakan penyokong itu juga seolah-olah membawa naratif yang tidak betul dan tidak baik dalam tempoh kempen yang sepatutnya dilaksanakan secara sihat, progresif serta berkepentingan rakyat, membawa isu tempatan atau mengenai dasar parti yang memberi kelebihan kepada rakyat.
Bagaimanapun, tindakan dan sepanduk yang dibawa itu menyalahi Seksyen 4A (1) Akta Pilihan Raya 1954 berkaitan perkara menimbulkan perasaan tidak senang dan juga tidak baik kepada parti lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung kesalahan PRK bagi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, di sini, hari ini.
Semalam Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, berbeza pendapat tiada masalah tetapi jangan sampai menghina orang lain.
“Kita boleh berkempen dengan matang,kerana kalah menang itu Allah yang akan tentukan,tetapi Islam tidak ajar kita dengan berkempen secara menghina pihak lawan. Kempen dengan idea dan hujah bukan dengan menghina pihak lawan
“Kalau ada alasan kenapa dulu geng sebelah sini pun ada kempen menghina maka jawapan saya takkanlah benda yang buruk kita nak ikut dan amalkan, sampai bila politik negara kita nak jadi matang.
Jadi tunjukkan akhlak yang baik kerana kita ini adalah cermin Islam di mata orang lain,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Nnn
