Amanah yakin calon PH menang besar

AYER KEROH 3 Sept. – Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yakin calon Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, 9 September ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, ia berikutan UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut bekerja keras memastikan kemenangan kedua-dua calon PH terbabit.

“Insya-Allah, kami (PH) menang di kedua-dua kerusi. UMNO bekerja kuat sekarang ini (untuk memastikan kemenangan),” katanya selepas menutup Program Jualan Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran Sejarah, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Exco Pembangunan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sebelum ini, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan jentera parti itu akan terus bekerjasama dengan PH untuk menyokong serta bekerja keras memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di dua kerusi berkenaan.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam akibat pendarahan otak.

Related posts

Leave a Comment