Tingkat perpaduan melalui amalan ibadah

KUALA LUMPUR 24 Ogos –  Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang dicetuskan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1961 merupakan satu inisiatif menyatukan perpaduan rakyat, ummah dan penduduk dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini kerana ummah yang terdiri daripada pelbagai bangsa, menguasai pelbagai bahasa dan mengamalkan pelbagai budaya dari serata dunia dipertemukan pada program itu.

Titah baginda bermula dengan 13 peserta mewakili tujuh buah negara yang menyertai tilawah kali pertama kini  berkembang kepada 76 peserta daripada 52 buah negara dipertemukan di Kuala Lumour menyertai tilawah dan hafazan tahun ini.

Menurut baginda, melalui program seumpama itu, mereka saling berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain, selaras dengan seruan Ilahi yang terkandung dalam ayat 13 Surah al-Hujurat.

Bertitah merasmikan penutupan dan pengurniaan hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445 H / 2023 M di sini malam ini, baginda menegaskan perpaduan adalah satu daripada teras ajaran Islam.

“Dalam ayat 103 Surah Ali-Imran, Allah SWT menyeru umat Islam supaya bersatu padu dengan berpegang teguh pada ‘tali Allah’, dan tidak berpecah belah, serta mengingatkan umat Islam ketika bermusuhan pada era jahiliah, lalu Allah menyatukan hati sehingga ummah bersatu, mengecap nikmat persaudaraan Islam,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, masyarakat yang kuat terbina melalui perpaduan yang kukuh, maka kerana itu perpaduan sangat dianjurkan dan diterapkan menerusi amalan-amalan ibadah serta pelbagai tanggungjawab fardu kifayah lain.

Ini termasuk solat berjemaah, solat Jumaat, bertadarus al-Quran, qiamullail di masjid, di samping falsafah yang tersirat di sebalik ibadah zakat, sedekah, wakaf dan haji serta tuntutan menunaikan tanggungjawab fardu kifayah.

Baginda bertitah, ummah dihimpunkan melalui ibadah-ibadah tersebut terutamanya sewaktu menunaikan ibadah haji apabila semua berhimpun dari serata dunia tanpa mengira bangsa, darjat dan keturunan serta disatukan dalam semangat insaniah.

Titah baginda, persaudaraan insaniah yang terjalin turut diperkukuh dengan semangat persaudaraan yang berpegang pada satu akidah yang terbina dari dasar tauhid yang mengaku tiada tuhan disembah melainkan Allah.

“Perpaduan ummah sejagat dan perpaduan rakyat senegara merupakan sumber kekuatan yang tidak boleh ditiadakan. Perpaduan ialah perkara yang wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam kerana Islam ialah agama yang menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian.

“Umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan roh yang seharusnya berperanan memperkukuh rasa kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap sopan terhadap orang lain,” titah baginda.

Bagaimanapun umat Islam perlu sedar bahawa ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang pada akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan yang merugikan.

Titah baginda, fitnah dan menyemai rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan dan perpecahan.

“Umat Islam wajib memilih untuk melihat elemen-elemen persamaan yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

“Berpeganglah kepada tali Allah agar kita tidak berpecah belah, dalam semangat keimanan bertuhankan Allah, menerima Nabi Muhammad SAW sebagai rasul junjungan, bersolat berkiblatkan Kaabah yang satu, menjadikan al-Quran kitab rujukan yang sama, dalam semangat umat Islam itu bersaudara,” titah baginda.

Mengakhiri titah, Sultan Nazrin menzahirkan harapan semoga acara-acara yang dianjurkan untuk memuliakan kitab suci al-Quran berjaya meningkatkan kefahaman dan penghayatan ummah kepada kandungan yang tersurat serta tersirat dalam kitab suci ini.

Related posts

Leave a Comment