Pembekuan akaun bermotif politik – Hamzah

PUTRAJAYA 24 Ogos – Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin, mendakwa, tindakan membekukan akaun bank milik beliau dan isterinya disebabkan wujud tekanan dan campur tangan pemimpin politik dalam kerajaan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan, pembekuan oleh pihak berwajib itu bermula semalam

“Pembekuan ini yang kemudiannya disebarkan kepada media, merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan PN yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

“Ia juga adalah satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN, terutama selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada PN yang memenangi 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini,” dakwanya.

Media sebelum ini melaporkan akaun bank milik Hamzah dan ahli keluarganya dipercayai dibekukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Difahamkan, pembekuan itu  dipercayai sebahagian daripada langkah siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hamzah berhubung kes rasuah RM15 juta.

Hamzah juga mendakwa, ia adalah tindakan pendakwaan politik, sama seperti kes dikenakan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan mendakwa SPRM dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin parti berkenaan.

“Tetapi akhirnya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan (ke atas Muhyiddin) kerana cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan terbabit adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, peguamnya sedang membuat persediaan untuk memulakan tindakan mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM serta kerajaan kerana didakwa mengheret namanya dalam kes pendakwaan yang tiada kena-mengena langsung dengan beliau.

“Saya pasti lebih banyak tindakan politik akan diambil ke atas saya dan pemimpin PN dalam masa terdekat, termasuk menggunakan polis bagi menyiasat saya kerana mengkritik DAP dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kezaliman kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) ini tidak akan menghentikan perjuangan saya. Demi masa depan negara dan rakyat, saya akan terus melawan kerajaan zalim ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment