Qari Malaysia, Qariah Maghribi johan Tilawah

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, serta qariah Maghribi, Sara Belmamoun, muncul sebagai johan tilawah kategori masing-masing pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63, malam ini.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Mohammad Qayyim memperoleh markah 94.96 peratus manakala Sara 93.05 peratus.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil.

Kejayaan Muhammad Qayyim Nizar dari Kelantan merupakan satu detik bersejarah dengan keistimewaan beliau membaca al-Quran menggunakan naskah al-Quran Braille.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan menyampaikan hadiah kategori qari, manakala Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, bagi kategori qariah.

Sementara itu, Omar Toure yang mewakili Guinea dipilih sebagai johan kategori hafazan lelaki dengan markah 98.63 peratus, dan Tebani Cheyma Enfal mewakili Algeria pula memenangi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus. Mereka turut menerima hadiah wang tunai, hadiah iringan dan sijil.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak,  Mohamad Asfia Awang Nassar; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),  Hakimah Mohd Yusoff.

MTHQA Ke-63 yang bertema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, membariskan seramai 20 hakim dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia.

Related posts

Leave a Comment