SEPANG 23 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menuntut penjelasan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengapa replika cek sumbangan kepada sekolah-sekolah Cina menggunakan logo parti.
“Kami mahukan penjelasan dari YB menteri Nga Kor Ming. Adakah sumbangan ini dari pihak kerajaan?
“Jika dari pihak kerajaan,apakah kaitan logo DAP berada di mock up cheque sumbangan tersebut? Jangan jadi bodoh bila dah menjadi menteri!!!,” kata Akmal melalui hantaran di Facebooknya.
Beliau mengulas laporan media mengenai sumbangan tersebut yang pada replika cek sumbangan itu tertera logo DAP di sebelah Jata Negara selain logo Pakatan Harapan dan Malaysia Madani.
Sebelum ini sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan sejumlah peruntukan diberikan kepada beberapa buah sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina.
Laporan itu kemudiannya tular selepas mock cheque yang serahkan kepada sekolah berkenaan terdapat logo parti DAP yang diletakkan di sebelah Jata Negara.
Seorang pengguna media sosial mendakwa kerajaan memperuntukkan RM1.8 juta untuk menambah baik dan menaik taraf peralatan 17 sekolah Cina di Perak.
Semalam, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Fadhli Shaari juga membangkitkan persoalan yang sama berikutan tular gambar-gambar berkaitan.
Beliau yang tidak mempertikaikan bantuan berkenaan kerana ada peruntukan sebaliknya mempersoalkan kenapa logo parti diletakkan bersama sedangkan bantuan itu adalah wang pembayar cukai.
Katanya, adalah tidak wajar DAP mengambil kesempatan menggunakan logo parti seolah-olah menggambarkan bantuan itu adalah daripada peruntukan parti.
