Kerajaan atau pembangkang, Melayu kekal calon PM

BANGI 15 Dis. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan calon Perdana Menteri sama ada dari kerajaan atau pembangkang pada masa hadapan adalah kekal daripada kaum Melayu.

Justeru tiada keperluan untuk meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.

“Sejak merdeka hingga sekarang, calon Perdana Menteri ialah Melayu. Selepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon pembangkang juga Melayu.

Jadi (kita) kena maju terus dan hak rakyat, semua warganegara kita harus pelihara. Jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Semalam Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Anwar meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Ia susulan kenyataan ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung ‘Impian Malaysia’ yang diutarakannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom pada 29 November lalu dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin politik supaya jangan mengajak rakyat bergaduh sesama sendiri, sebaliknya cari jalan untuk kurangkan lagi bebanan rakyat.

Perdana Menteri menyuarakan demikian ketika ditanya mengenai siasatan polis terhadap kenyataan kontroversi calon Perdana Menteri bukan Melayu oleh Kit Siang.

Anwar berkata, banyak perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang sebenarnya tidak mempunyai isu tetapi hanya untuk melaga-lagakan penduduk negara yang berbilang kaum.

“Seperti juga isu yang diwar-warkan pembangkang mengenai persempadanan semula. Perkara itu tidak berbangkit pun, hanya untuk melaga-lagakan, nak bagi orang lagi marah, orang Cina lagi marah.

Ia tidak berbangkit dan dia (pembangkang) tidak faham perlembagaan. Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula persempadanan itu pada akhir 2026 sahaja.

“Nak sibuk pasal apa… carilah modal untuk bantu bagaimana mahu angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan duk ajak bergaduh sahaja… tak letih ke,” katanya.

Related posts

Leave a Comment