SHAH ALAM 23 Ogos – Menteri Besar Amirudin Shari memegang lima portfolio ketika mengumumkan senarai portfolio bagi dirinya dan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik baru-baru ini.
Portfolio itu adalah Pembangunan Tanah dan Sumber Alam, Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
Bercakap pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini, beliau berkata Ng Sze Han dilantik sebagai Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti; Ir Izham Hashim (Infrastruktur dan Pertanian), manakala Borhan Aman Shah (Perumahan dan Kebudayaan).
Bekas Speaker Ng Suee Lim dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan; Datuk Rizam Ismail (Kemajuan Desa dan Perpaduan; dan Jamaliah Jamaluddin (Kesihatan Awam dan Alam Sekitar).
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi sebagai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan; Papparaidu Veraman (Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan); Dr Mohammad Fahmi Ngah (Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi).
Bagi portfolio, Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat pula disandang oleh ADUN Taman Templer, Anfaal Saari.
