PN yakin gelombang tular ke Johor

JOHOR BAHRU 23 Ogos –  Perikatan Nasional (PN) yakin gelombang yang menyumbang kepada kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, akan menular serta memberi impak besar di Johor.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata momentum gelombang itu dijangka akan diteruskan pengundi negeri ini, sekali gus membawa kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September nanti.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, PN  perlu meningkatkan usaha untuk memujuk lebih 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi bagi memastikan parti itu berjaya merampas dua kerusi berkenaan.

“Dalam situasi dan keadaan politik negara ketika ini, PRK di dua kawasan ini mempunyai signifikan atau impak tersendiri. PRK ini diadakan selepas PRN enam negeri yang menyaksikan PN menang 146 kerusi berbanding 245 kerusi dipertandingkan atau 60 peratus jumlah kerusi.

Oleh itu, kita jangkakan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan menyaksikan momentum gelombang PN menerobosi negeri kelahiran UMNO ini sebagaimana yang melanda enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah ketika PRN

“Ia juga adalah sebagai referendum atau pungutan suara rakyat bukan sahaja di enam negeri PRN lalu, malah akan dibuktikan pengundi di dua PRK di Johor,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Gerakan,  Dr Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN; Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengumumkan Zulkifli Jaafar dan Dr Mohd Mazri Yahya sebagai calon gabungan itu, masing-masing bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Pulai yang dahulunya kawasan hitam bagi PN kini berpotensi bertukar putih dengan peluang untuk menang tinggi.

“Kita sudah melalui banyak pilihan raya , dan ini tidak mustahil meskipun analisis kawasan sebelum ini menunjukkan kawasan hitam, jika kita berjaya memujuk dan mendapat sokongan 90 peratus daripada pengundi Melayu, kita yakin boleh menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment