SINGAPURA 21 Ogos – Selepas mengharungi pandemik Covid-19, Singapura sekali lagi diuji di tengah-tengah senario kemelut geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
“Kita (Singapura) turut merasakan tekanan yang semakin ketara di sekeliling kita.” kata Lee dalam ucapannya sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2023 bertajuk ‘A Better Home, A Brighter Future’
Lee berkata, persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China jelas memberi kesan kepada semua negara dan rantau dunia dengan sikap kedua-dua negara itu yang saling berwaspada dan tidak percaya yang kian mendalam.
Berikutan itu katanya, negara-negara lain perlu memilih jalan selamat untuk mengelak daripada turut terbabit sama.
Menyuarakan kebimbangan mengenai konflik berterusan di Eropah, Lee menyifatkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine sebagai satu tragedi kemanusiaan dan serangan terhadap norma serta nilai-nilai antarabangsa.
“Ini merupakan satu amaran kepada negara-negara lain untuk tidak sekali-kali memandang ringan keamanan dan mengingatkan kita mengenai kepentingan pasukan Angkatan Bersenjata Singapura yang kuat,” katanya.
Katanya , orde atau aturan ekonomi dunia semakin susut manakala konsep globalisasi juga kian lemah.
“Rantaian bekalan kini berpecah. Kalangan negara-negara bertindak melaksanakan pelbagai langkah perlindungan. Ini menjejaskan semua negara, terutama negara perdagangan kecil dan terbuka seperti kita,” katanya.
Dunia juga kata Lee turut mengalami cuaca melampau akibat pemanasan global dengan tiada rantau dari China dan Jepun ke Eropah dan AS yang terkecuali daripada bencana banjir, kemarau, gelombang haba serta kebakaran.
“Keadaan itu menjejaskan pengeluaran serta harga makanan di serata dunia. Walaupun ini belum lagi dirasakan sepenuhnya di Singapura, tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan ini akan berlaku,” katanya.
Singapura juga sedang berusaha untuk bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dan menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih positif dan mengelak daripada kemelesetan.
“Inflasi akhirnya turun, namun ini berkemungkinan akan kekal tinggi daripada apa punyang biasa kita alami. Kos sara hidup masih terus berlegar dalam fikiran semua.
“Kita akan bersama-sama mengharungi cabaran ini,” katanya.
Sebelum ini, pada 11 Ogos lalu, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 kepada 0.5-1.5 peratus, susulan prospek permintaan luaran yang kekal lemah.
Angka itu lebih rendah daripada unjuran sebelum ini pada julat 0.5-2.5 peratus.
Sebelum itu pada 24 Julai lepas, MTI dan pihak Penguasa Kewangan Singapura menyatakan bagi keseluruhan 2023, inflasi utama dan teras diunjur masing-masing antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus serta 3.5 peratus dan 4.5 peratus.
Mengenai pelan peralihan pucuk pimpinan Singapura beliau berkata, rancangan itu kini berada di landasan sewajarnya.
“Seperti yang anda semua maklum, rancangan asal saya adalah untuk menyerahkan (jawatan ini) dan berundur sebagai perdana menteri menjelang 2022, iaitu sebelum ulang tahun saya yang ke-70. Bagaimanapun, rancangan itu telah dijejaskan oleh pandemik.
“Namun kini, Covid-19 telah berakhir dan pelan peralihan itu kembali di landasan yang sewajarnya,” katanya
(Foto fb LHL)
