KARACHI: Presiden Pakistan, Arif Alvi menolak menandatangani dua rang undang-undang (RUU) yang akan memberi kerajaan lebih kuasa mendakwa individu menentang kerajaan dan tentera.
Arif yang juga ahli Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dinaungi bekas perdana menteri, Imran Khan, menentang kerajaan campuran yang meluluskan dua RUU itu di kedua-dua dewan Parlimen negara berkenaan.
“Dengan tuhan sebagai saksi, saya tidak menandatangani pindaan RUU Rahsia Rasmi 2023 dan RUU Tentera Pakistan 2023 kerana saya tidak bersetuju dengan undang-undang ini,” katanya menerusi hantaran pada akaun X (Twitter) miliknya,
Berikutan itu, Arif turut mengarahkan kakitangannya memulangkan dokumen RUU yang tidak ditandatangani itu kepada badan perundangan dalam masa yang ditetapkan.
Menurut Arif, beliau sedar ada dalam kalangan kakitangan yang mensabotaj kehendak dan perintahnya.
Sementara itu, Kementerian Undang-Undang dan Keadilan Pakistan menyifatkan tindakan presiden tidak menandatangani RUU berkenaan adalah langkah tidak berperlembagaan selain membimbangkan.
“Presiden mempunyai dua pilihan sama ada memberi persetujuan atau merujuk perkara itu kepada parlimen dengan penelitian khusus,” kata kementerian itu dalam kenyataan sambil menambah Arif tidak memenuhi mana-mana pilihan berkenaan.
“Tindakan sedemikian adalah bercanggah dengan akta dan semangat perlembagaan,” kata kementerian.
Mengikut perlembagaan, jika presiden tidak menandatangani draf RUU atau mengembalikan semula dengan penelitian atau bantahan dalam tempoh 10 hari selepas melalui dua dewan, ia akan berkuatkuasa menjadi undang-undang.
“Memandangkan presiden tidak menandatangani dan mengembalikan RUU itu dalam tempoh 10 hari, ia menjadi undang-undang,” kata Menteri Undang-Undang sementara, Ahmad Iran pada satu sidang media.
Sementara itu Menteri Penerangan sementara, Murtaza Solangi juga mengkritik kenyataan dan mendakwa tindakan itu cuma satu percubaan untuk mencetuskan kekeliruan selain tidak mempunyai nilai undang-undang.
