Radhi Mat Din dilantik Exco Kedah

ALOR SETAR 21 Ogos – Bekas pemain bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din adalah antara  10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit pagi ini.

Muhammad Radhi diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, beliau mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar dengan majoriti 10,104 undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.

Daripada 10 Exco berkenaan, enam mewakili Pas tidak termasuk Menteri Besar, tiga mewakili Bersatu  dan satu mewakili Gerakan. Pada PRN baru-baru ini, Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 33 kerusi Dewan Undangan Negeri

Majlis pelantikan dimulakan dengan upacara mengangkat sumpah oleh ADUN Merbau Pulas, Siti Ashah Ghazali diikuti Mohd. Azam Abd. Samat (Sungai Limau), Dr. Haim Hilman Abdullah (Jitra),  Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (Kuala Nerang).

Lima lagi ADUN yang dilantik sebagai Exco adalah ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria; Dzowahir Ab. Ghani (Suka Menanti), Salleh Saidin (Kubang Rotan), Muhamad Radhi (Alor Mengkudu) dan Wong Chia Zhen (Kulim).

Pelantikan itu menyaksikan hanya tiga Exco dikekalkan daripada penggal lalu iaitu Siti Ashah, Halimaton dan Mohamad Yusoff sementara komposisi mengikut parti pula, Pas memiliki tujuh Exco termasuk Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor diikuti tiga Bersatu dan seorang Gerakan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memegang lapan portfolio di bawahnya iaitu Perancang Negeri; Hasil Bumi; Kewangan; Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC); Majlis Tindakan Ekonomi Negeri; Pembangunan Kedah 2035; Kerjasama Luar serta Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains.

Siti Ashah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, manakala Mohd. Azam pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan.

Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Haim Hilman dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Halimaton Shaadiah yang mempertahan DUN Bukit Kayu Hitam terus diberi kepercayaan untuk memegang portfolio sama seperti penggal sebelum ini iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan tambahan portfolio Perpaduan.

Seorang lagi Exco yang dilantik semula, Mohamad Yusoff diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air selain tambahan portfolio  Alam Sekitar.

Sementara Mansor yang merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kedah diberi amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan.

Dzowahir pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perladangan dan Pengangkutan; Mohd. Salleh (Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan) manakala Chia Zhen (Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan).

Related posts

Leave a Comment