ALOR SETAR 21 Ogos – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah yang baharu dilantik bertekad memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri bagi memastikan aspirasi Kedah Lebih Hebat (The Greater Kedah) tercapai.
Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah, berkata beliau memikul tanggungjawab berat membawa lebih banyak pelaburan dan pembangunan agar limpahannya dapat dinikmati semua pihak.
Katanya, beliau juga akan terus menjalin hubungan strategik bersama agensi tempatan dan antarabangsa dalam melaksanakan semua projek yang dirancang dan bakal dibentuk sejajar Pelan Pembangunan Kedah 2035.
“Semestinya pelaburan, pembangunan dan pendidikan tinggi sangat penting bagi membawa limpahan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri.
Kita akan memanfaatkan sehabis baik sumber yang ada di Kedah, di samping mengenal pasti sumber baharu
“Saya akan berikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan Kedah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negeri tercinta ini selari aspirasi The Greater Kedah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
