SEPANG 19 Ogos – Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat, diumum sebagai calon parti itu mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.
Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman pula diumum sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata pencalonan mereka diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Calon Bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 17 Ogos lalu.
“Calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Datuk Seri Salahuddin Ayob pada 23 Ogos ini di DUN Simpang Jeram, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam akibat pendarahan otak.
Suhaizan, 50 sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Johor pada 2018-2020.
Berpindidikan Sarjana Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau juga adalah Ketua Amanah kawasan Pulai.
Sementara itu, Nazri, 56 adalah jurutera Majlis Perbandaran Muar dan berpendidikan Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Beliau juga pernah menjadi pembantu Allahyarham Salahuddin di kawasan DUN berkenaan.
