Jenazah pertama nahas pesawat dituntut keluarga

KLANG 19 Ogos –  Jenazah pertama mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam dituntut oleh ahli keluarganya pada pukul 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan, berkata mayat pertama yang dikenal pasti itu adalah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 seorang penunggang p-hailing.

“Seluruh petugas, PDRM dan petugas kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham,” katanya pada sidang media di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Jenazah dibawa ke Masjid Al Rahimiah di sini untuk disolatkan sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda, Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu waris dan keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) pukul 8.15 pagi tadi.

Turut tiba ialah van jenazah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipercayai bagi membawa jenazah Allahyarham ke Sungai Petani, Kedah.

Muhamad Hafiz adalah antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft dari Langkawi yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pukul 2.48 petang kira-kira dua minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

Lapan penumpang dalam pesawat itu turut terkorban termasuk Exco Pahang selain seorang lagi orang awam iaitu pemandu Grab berusia 53 tahun.

Related posts

Leave a Comment