Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR 19 Ogos –  Pemuda Perikatan Nasional (PN) melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan Peringkat Pemuda PN di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Tema yang dipilih adalah ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ berbanding tema Kerajaan Perpaduan iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.

Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang

“Logo ini adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN,” katanya pada sidang media pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan Peringkat Pemuda PN di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Ditanya sama ada tindakan menggunakan logo serta tema berbeza itu dilihat sebagai tindakan PN mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan, Ahmad Fadhli yakin rakyat boleh menerima tindakan seperti itu.

“Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini, yang dicerminkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment