REMBAU 12 Ogos – Jalaluddin Alias wajar dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan (NS) sekiranya Barisan Nasional (BN) menang lebih kerusi di negeri itu berbanding Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelantikan Jalaluddin juga adalah berdasarkan kedudukan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
“Walaupun dia Ahli Parlimen, dia tak pegang jawatan di pusat. Jadi kalau BN (menang) lebih kerusi daripada PH dan PH-BN menang di NS, Jalal lah angkat sumpah Menteri Besar,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim di sini, hari ini.
Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan Aminuddin Harun wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan PH dan BN memenangi PRN NS.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Aminuddin menunjukkan prestasi yang memuaskan ketika memimpin Negeri Sembilan dan banyak melaksanakan usaha membantu penduduk dengan pelbagai program.
Bagaimanapun, Jalaluddin baru-baru ini berkata, semua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan BN dan PH layak untuk menjadi calon Menteri Besar.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kenyataan dibuatnya itu adalah dari segi keadilan dan perkiraan.
Beliau turut berpandangan akan timbul masalah sekiranya nama yang dihantar kepada Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah nama Aminuddin.
“Tidak adil. Dia mesti UMNO. Kalau dihantar nama Aminuddin dan bukan Jalaluddin dalam keadaan UMNO menang lebih, bermakna UMNO lemah,” katanya.
Pada PRN hari ini, BN bertanding di 17 kerusi manakala PH 19 kerusi yang merangkumi DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (dua).
