MB Kelantan berundur kerana faktor kesihatan

MARANG 12 Ogos –  Pas melakukan perubahan jawatan Menteri Besar Kelantan selepas Datuk Ahmad Yaakob mohon melepaskan jawatan kerana faktor kesihatan, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Katanya, sudah masanya perubahan dilakukan untuk memberi peluang kepada pemimpin yang baharu selain permintaan beliau yang mahu melepaskan jawatan.

“Menteri Besar mengundurkan diri kerana uzur bahkan dulu pun beliau minta merayu supaya tak dilantik (tetapi) kita minta lagi desak dan masa tengah-tengah bertugas pun dia minta (mengundur diri), (beliau) memang keuzuran, berapa kali masuk hospital kena rawatan.

“(Jadi) kali ini, kita pertimbanglah (kerana) kasihan kepada beliau dan (beliau) masih lagi menjadi wakil rakyat memberi sumbangan.

Kita mahu supaya semangat baharu di Kelantan, ada perubahan dan sebab itu timbalannya juga diubah (dan) tidak ada (apa-apa isu) memanglah lama sangat memerintah 30 tahun, bila lama macam ini letihlah orang yang jalan tugas itu, mesti kena buat giliran,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila, hari ini.

Abdul Hadi juga berkata, pertukaran dua jawatan itu juga bergantung kepada perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Menteri Besar (dan) timbalan ada pertukaran (tetapi) pengumuman itu bergantung kepada persetujuan Tuanku kerana perlantikan kerajaan ini membabitkan Tuanku, parti dan rakyat.

“Keputusan rakyat tak tahu lagi, lepas daripada rakyat (mengundi), parti sudah ada calon pun dan kita (akan) kemuka pada Tuanku dan perbincangan dengan Tuanku pun berlaku, Insya-Allah.

“Insya-Allah, (dua calon ini) diterima oleh Tuanku, diterima oleh rakyat,” katanya.

Sebelum itu di Kota Bharu; Timbalan Menteri Besar sementara Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata calon Menteri Besar ditentukan Presiden Pas dengan mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Katanya, parti sudah bermesyuarat kelmarin di Terengganu untuk membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak tahu nama calon Menteri Besar kerana perkara itu diputuskan oleh presiden parti selepas mendapat nama calon diangkat oleh Menteri Besar sedia ada.

“Saya tidak boleh ulas perkara itu, untuk maklumat lanjut perlu rujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Pas.

“Untuk jawatan Menteri Besar memang akan melalui tiga proses iaitu bermula dari Menteri Besar sedia ada akan mengangkat nama kepada Presiden Pas sebelum nama berkenaan dipersembah kepada Sultan Kelantan,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini, hari ini.

Semalam, Takiyuddin mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN.

Related posts

Leave a Comment