Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260

KUALA LUMPUR 29 Nov. –  Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir  mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara.

Mesyuarat dua hari itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Seperti biasa, sebelum mempengerusikan mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 11 pagi, Tuanku Muhriz berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Tuanku Muhriz kemudiannya menanam pokok Buah Ajaib di pekarangan Istana Negara sebagai simbolik Yang Dipertuan Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok itu.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok kali pertama dilangsungkan pada mesyuarat kali ke-255.

Turut berangkat adalah Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Berangkat sama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Pada mesyuarat berkenaan, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri sementara Sarawak diiringi Timbalan Premier.

Related posts

Leave a Comment