Muhammad Yunus ketuai kerajaan sementara

DHAKA: Pemenang Hadiah Nobel Tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus mengangkat sumpah sebagai Ketua Kerajaan Sementara negara itu semalam (Khamis) selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan.

Majlis mengangkat sumpah berlangsung di pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin di ibu negara Dhaka selepas beberapa minggu protes yang menyebabkan kejatuhan kerajaan pimpinan Hasina.

Berikutan peletakan jawatan perdana menteri, ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.

Pada Selasa, 6 Ogos lalu Presiden Shahabuddin turut membubarkan parlimen negara itu.

Terdahulu penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar mengancam akan melakukan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan.

Keputusan bubar diambil berikutan pertemuan dengan ketua-ketua pasukan pertahanan, pemimpin parti politik, pemimpin pelajar dan beberapa wakil masyarakat sivil, menurut kenyataan tersebut.

Hampir 300 orang terbunuh dalam beberapa minggu keganasan di seluruh negara itu yang bermula bulan lalu.

Related posts

Leave a Comment