Rara lapor polis dakwa jadi mangsa gangguan seksual

KUANTAN 18 Julai – Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, semalam berkaitan kes penipuan dan gangguan seksual oleh seorang pempengaruh media sosial terhadapnya.

Ahli Parlimen Bentong itu dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua laporan itu dibuat oleh pegawai khasnya.

Menurut Rara, laporan pertama membabitkan kes penipuan bahawa terdapat individu menghantar mesej melalui aplikasi Instagram mengaku sebagai wakil beliau untuk penganjuran program menjana pendapatan.

Katanya, laporan kedua pula adalah terhadap pempengaruh yang mengeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah yang dianggapnya sebagai gangguan seksual dalam satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok dan Instagram.

“Video itu kemudian tular dan telah dikongsi oleh banyak pihak lain. Dalam video yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut, beliau telah menyebut beberapa perkataan lucah berserta lenggok bahasa badan beliau yang telah menyebabkan saya tidak selesa.

Saya terbuka jika ada yang mempertikaikan pandangan dan ideologi politik saya. Setiap daripada kita berhak mempunyai pandangan masing-masing.

Namun apa yang telah dilakukan oleh pempengaruh ini ialah satu serangan peribadi dan menjejaskan reputasi dan kehormatan saya sebagai seorang wanita serta Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, tujuannya membuat laporan berkenaan adalah untuk memberikan pengajaran kepada semua pelaku jenayah gangguan seksual selain ia juga bagi menggalakkan mangsa jenayah gangguan seksual lain untuk berani tampil ke hadapan, tidak kira lelaki atau wanita.

Rara juga menarik perhatian bahawa pada 11 Ogos 2022, Dewan Rakyat telah meluluskan satu Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual yang telah dikuatkuasakan pada tahun ini.

Selain itu terdapat juga peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang bermaksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, boleh dipenjara maksimum lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

“Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan ke atas kedua-dua kes ini dan saya berharap tindakan tegas akan diambil terhadap semua penjenayah kes scammer dan gangguan seksual di dalam negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment