KUALA SELANGOR 18 Julai – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Pengerusi PH itu berkata, keputusan itu bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.
Amirudin ialah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan beliau kini Ahli Parlimen Gombak.
Pada sidang media sempena lima tahun pentadbirannya baru-baru ini, Amirudin yakin bahawa prestasi dan kekukuhan pentadbiran kerajaan negeri yang ditonjolkan PH mampu membantu mereka mempertahankan pentadbiran semasa pada PRN akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi PH Selangor berkata sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran, tiada isu-isu besar yang dibangkitkan dalam kalangan komponen parti di peringkat negeri, sekali gus menunjukkan bahawa pentadbiran negeri kukuh.
“Tidak mustahil kita mengulangi kejayaan 2018 (PRU14) dengan kemenangan lebih 50 kerusi. Setakat ini, kita sangat positif dan yakin. Insya-Allah boleh kekal (pentadbiran) dengan majoriti dua pertiga,” katanya.
DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan kedudukan terkini kerusi sebelum pembubaran ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas
PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos depan.
