JAKARTA – Sempena cuti perayaan Aidilfitri 2025. Kementerian Pengangkutan Indonesia meramalkan 52 peratus penduduk negara itu atau kira-kira 146.48 juta orang akan melakukan perjalanan seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan memaklumkan pergerakan dari Pulau Jawa dijangka menyumbang 51.3 peratus atau sekitar 81.5 juta orang, dengan majoriti pengembara berasal dari Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, bagi menangani pergerakan yang tinggi itu, kerjasama antara kementerian dan kerajaan wilayah akan menjadi penting.
Baru-baru ini beliau mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jawa Barat Dedi Mulyadi dan Gabenor Banten Andra Soni dengan tumpuan kepada usaha penyelarasan antara kerajaan pusat dan wilayah, pengendali pengangkutan, serta pihak berkepentingan lain dalam menguruskan lonjakan yang dijangkakan dalam pergerakan penumpang dan barangan.
Kementerian itu turut bekerjasama dengan kerajaan Jawa Barat untuk menangani kemungkinan kesesakan di tiga plaza tol utama yang menjadi laluan penting bagi kenderaan yang melakukan perjalanan antara Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
Dudy berkata semasa kemuncak perjalanan musim perayaan, jumlah kenderaan yang keluar dari Jakarta dijangka meningkat sehingga 60 peratus berbanding trafik harian biasa.
Banten, sebagai kawasan transit utama dan pintu masuk antara Jawa dan Sumatera, dijangka menyumbang 1.7 peratus daripada jumlah pergerakan perjalanan negara.
“Perhatian khusus akan diberikan kepada pelabuhan feri di rantau ini, termasuk Pelabuhan Merak, Pelabuhan Bandar Bakau Jaya Bojonegoro, Pelabuhan Pelindo 2 dan Pelabuhan Ciwandan,” katanya.
Indonesia, negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, menyaksikan jutaan penduduk meninggalkan bandar utama setiap tahun untuk menyambut lebaran bersama keluarga, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di jalan raya dan pelabuhan.
Baru-baru ini, Indonesia mengumumkan pengurangan harga tiket penerbangan kelas ekonomi domestik sebanyak 13 hingga 14 peratus sepanjang tempoh cuti Aidilfitri tahun ini.
Langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat, selain meningkatkan kemudahan serta keselesaan perjalanan.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi, berkata pengurangan harga itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong rakyat yang merancang untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Pengurangan harga itu akan berkuat kuasa selama 15 hari dari 24 Mac hingga 7 April depan, dengan tiket boleh dibeli dari 1 Mac hingga 7 April.
Nnn