Halang sentuh 3R nafi kebebasan bersuara

PUTRAJAYA 18 Julai –  Bekas Perdana Menteri, Dr Mahatir Mohamad mendakwa tindakan menghalang perbincangan menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) sebagai menafikan kebebasan bersuara di negara ini.

Katanya, jika hendak menjadikan tindakan seseorang yang menyentuh isu itu sebagai jenayah maka ia perlu dibahas dan kemudian mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, ia termasuk perlu mendapatkan tandatangan Yang di-Pertuan Agong atau diluluskan selepas dua bulan.

“Ia amat serius. Jika ini tidak dilakukan, kerajaan mungkin didakwa kerana melakukan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Dr Mahathir dalam kenyataannya juga mendakwa ada pihak yang menyentuh isu kaum antaranya seperti berbilang kaum tetapi dibolehkan, sambil mempersoalkan mengapa tidak boleh menyentuh perbincangan mengenai orang Melayu.

Beliau juga mendakwa, berkaitan isu agama, berlaku ‘layanan’ dwistandard kerana ada saja pihak yang menyentuh isu sekularisme yang membawa makna tidak boleh ada agama rasmi.

“Sekularisme bermakna tidak boleh ada agama rasmi. Ini bermakna kita bercakap berkenaan agama rasmi. Kenapa menolak agama rasmi boleh disentuh tetapi mengekal agama rasmi tidak boleh disentuh,” katanya.

Dr. Mahathir juga menyentuh soal institusi raja yang baginya raja juga seperti rakyat, tertakluk kepada undang-undang.

“Sebuah mahkamah diadakan untuk raja. Bermakna jika raja melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, tindakan boleh diambil.

“Perundangan ini diadakan kerana kes tertentu. Jikalau kes-kes yang sama berlaku atau kes yang lebih buruk berlaku dan dakwaan tidak boleh dibuat, maka raja akan jadi raja yang berkuasa mutlak.

“Sebaliknya Perlembagaan menjadikan raja kita sebagai Raja Berperlembagaan. Apakah kita sudah gugur sistem raja berperlembagaan kepada raja berkuasa mutlak,” soal Dr.Mahathir.

Related posts

Leave a Comment