Pita cuba lagi rebut jawatan PM

BANGKOK: Gabungan lapan parti menegaskan semula bahawa pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat adalah calon tunggal untuk jawatan Perdana Menteri Thailand bagi pembentukan kerajaan baharu.

Gabungan itu melakukan pertemuan selepas percubaan pertama Pita untuk menjadi Perdana Menteri yang digagalkan pada 13 Julai lalu kerana tidak mendapat undi Parlimen yang mencukupi.

Mesyuarat tergempar itu dilakukan untuk mencari titik persamaan sama ada mereka akan terus menyokong Pita sebagai calon tunggal.

Walaupun menghadapi halangan itu, Pita berikrar untuk terus berjuang dalam sidang gabungan kedua.

Beliau turut mengakui terdapat beberapa kebimbangan bahawa pencalonannya semula mungkin melanggar Perlembagaan dan peraturan Parlimen, kerana ia boleh sama dengan mengemukakan ulang usul yang gagal dalam satu-satu sidang Parlimen.

Pada sidang bersama 13 Julai lalu, ramai Senator tidak mengundinya kerana ikrar MFP untuk meminda undang-undang menghina raja Thailand dan memintanya berundur dalam isu berkenaan.

Walaupun ingin mendapatkan lebih banyak undi daripada Senator dalam pencalonan keduanya, Pita mendakwa isu undang-undang berkenaan hanya digunakan sebagai alasan untuk mengundi menentang pencalonannya.

Manifestonya perlu dilaksanakan kerana mahu mengotakan janji yang dibuat kepada pengundi ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Srettha Thavisin dari Parti Pheu Thai bersedia untuk dicalonkan bagi jawatan itu, tetapi bergantung kepada keputusan jawatankuasa eksekutif parti.

Kesediaan itu susulan MFP akan memberi laluan kepada calon dari sekutunya, Parti Pheu Thai sekiranya Pita Limjaroenrat gagal menarik lebih banyak sokongan untuk pusingan kedua.

Laluan itu diberikan berikutan Parti Pheu Thai mempunyai kerusi kedua terbanyak dalam Dewan Rakyat dan dijangka Srettha, 60, yang juga taikun hartanah dipilih menjadi calon baharu.

“Adalah perlu untuk membentuk kerajaan baharu tidak lama lagi untuk menangani masalah ekonomi dan keadaan hidup rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment