Pas minta semua ahli, penyokong bertenang

ALOR SETAR 17 Julai – Pas Kedah meminta semua ahli dan penyokong parti itu bertenang serta tidak dipengaruhi emosi dan patuh pada undang-undang susulan laporan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, akan didakwa di mahkamah esok.

Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya, juga berharap semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan mendoakan yang terbaik untuk Muhammad Sanusi.

Katanya, proses perundangan diharap dapat dilaksana secara adil, berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada cengkaman atau pengaruh politik.

“Pas Kedah ambil maklum Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah akan dihadapkan ke mahkamah pagi esok.

Pas Kedah berpegang pada prinsip ‘innocent until proven guilty’ iaitu seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak boleh lagi dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Ahmad berkata, pihaknya berharap semua pihak dapat terus berdoa dan bermunajat agar Muhammad Sanusi mendapat keadilan sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

“Dalam situasi dihadapi Datuk Seri Muhammad Sanusi, PAS Kedah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau yang ikhlas dan amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah sentiasa berada dalam lindungan Allah,” katanya.

Menurut laporan media, Muhammad Sanusi dijangka menghadapi sekurang-kurangnya dua pertuduhan berkaitan kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang manakala pendakwaan akan dibuat secara berasingan di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Muhammad Sanusi dijangka  menghadapi pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berdasarkan ucapannya ketika menghadiri satu acara ceramah politik PN di Selayang pada 11 Julai lalu, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh isu perkenan Sultan Selangor dalam hal berkaitan pelantikan Menteri Besar di negeri itu.

Dalam ucapan yang tular, beliau membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dengan Amirudin Shari yang dilantik sebagai Menteri Besar oleh Sultan Selangor.

Sekurang-kurangnya 57 laporan polis dibuat beberapa pihak terhadapnya susulan ucapan terbabit, menyebabkan Sanusi disiasat berhubung ucapan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Susulan kejadian itu, pada Sabtu lalu, Sanusi mengutuskan sepucuk warkah memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Sharafuddin Idris Shah.

Pada pukul 2 pagi hari sama, Sanusi memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman dan dalam kenyataan susulan, beliau mendakwa ucapannya pada majlis itu, sengaja diputar belit oleh musuh politik bagi menimbulkan salah faham.

Related posts

Leave a Comment