Albanese angkat sumpah jawatan PM

CANBERRA 23 Mei – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, 59 mengangkat sumpah jawatan hari ini sebelum menghadiri Sidang Kemuncak Tokyo dengan mesej negaranya bersedia untuk terbabit dalam agenda perubahan iklim.

Pemimpin Parti Buruh itu mengangkat sumpah dalam majlis ringkas di Rumah Kerajaan di Canberra.

Albanese berkata, beliau akan bertemu dengan setiap pemimpin di Jepun, tetapi memilih Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan kongsi paling penting dan menyatakan bahawa Presiden Joe Biden ada berbincang sesuatu dengannya.

“Rundingan Tokyo akan menjadi cara yang baik untuk menghantar mesej kepada dunia bahawa terdapat kerajaan baharu di Australia.

Ia adalah kerajaan yang mewakili perubahan dari segi cara kita berurusan dengan dunia mengenai isu seperti perubahan iklim,” katanya.

Albanese berikrar untuk menggunakan lebih banyak sasaran pengurangan pelepasan yang tinggi dan menjadikan benua ini sebagai kuasa besar tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berharap dapat memimpin kerajaan yang membanggakan rakyat Australia dan tidak mahu memecah belah kerana orang ramai letih untuk berdepan konflik.

Sementara itu, menyentuh mengenai hubungan dengan Beijing, beliau menyatakan ia akan kekal menjadi sukar.

Kedua-dua negara tidak lagi mengadakan perbincangan peringkat menteri dalam tempoh dua tahun, dan kerajaan China menyekat pelbagai barangan Australia dengan sekatan politik.

“China yang berubah, bukan Australia dan Australia harus sentiasa mempertahankan nilai kita,” katanya.

Albanese juga berikrar untuk tidak “bermain politik” dengan keselamatan negara, satu muslihat biasa oleh kerajaan konservatif yang membantu mengeratkan lagi hubungan dengan Beijing.

Related posts

Leave a Comment