PETALING JAYA 17 Julai – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan enam lagi calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini menjadikan 10 calon setakat ini disahkan mewakili parti itu.
Mendahului senarai, Ketua Penerangannya, Luqman Long yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Bandar, Terengganu.
Ini diikuti Pengerusi Muda Selangor, Al Hafiz Ikhwan di kerusi DUN N23 Dusun Tua, Timbalan Pengerusi Muda Selangor, Dr R Siva Prakash (N06 Kuala Kubu Baharu); Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Dobby Chew (N32 Seri Setia).
Turut dicalonkan Ketua Biro Pendidikan Muda Pulau Pinang, Priyankaa Loh (N36 Pantai Jerejak); dan Bendahari Muda Selangor, Afriena Shaqira Sariff (N49 Sungai Kandis).
Sebelum ini, Muda mengumumkan empat calon parti itu untuk bersaing pada PRN Selangor yang akan datang.
Mereka adalah Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi sebagai N29 Seri Serdang; Cheda Razak (N41 Batu Tiga); Thanusha Ramanieswaran (N48 Sentosa) dan Melanie Ting (N19 Bukit Antarabangsa).
Sementara itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditanya mengenai tindakan parti itu mahu meletak calon untuk bersaing di kerusi DUN yang disandang Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa kerusi terbabit adalah milik rakyat.
Beliau mendakwa kebanyakan pemimpin kini terlalu selesa dan beranggapan tiada siapa mampu bertanding di kerusi yang dilihat sebagai ‘deposit selamat’ mereka.
“Mereka beranggapan itu adalah kerusi selamat mereka dan tidak boleh dikacau. Muda di sini untuk berkhidmat kepada rakyat dan mendengar suara serta mempertahankan mereka,” katanya.
Beliau bimbang jika rakyat Malaysia berbilang kaum tidak bersuara, negara akan menjadi lebih buruk selepas PRN kerana yang berlaku hari ini, agenda reformasi dilupakan sebaliknya hanya bermain isu politik tanpa memikirkan rakyat.
