Calon, muka baharu proses pembaharuan

TANJONG 17 Julai – DAP mengakui terdapat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan sebagai satu proses pembaharuan dan perancangan peralihan.

Setiausaha Agung, Anthony Loke, berkata langkah itu bukan soal menggugurkan mereka tetapi ini ia adalah proses pembaharuan dengan memasukkan muka baharu, calon berdarah muda demi masa depan parti itu.

“Ini sebahagian proses dalam mana-mana parti terutamanya apabila kita berada dalam kerajaan kita mesti merancang untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam DAP Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Loke berharap semua pihak termasuk penyandang yang digugurkan dapat menerima perkara itu apabila keputusan mengenainya dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Menurutnya, Pulau Pinang adalah negeri penting kerana menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) terutama DAP sejak 2008 dan parti itu akan melakukan segala yang mungkin untuk mempertahankan negeri itu buat penggal keempat berturut-turut.

“Kami sudah berada dalam kerajaan Pulau Pinang selama tiga penggal dan akan memasuki penggal keempat jadi pastinya kami perlukan muka baharu,” katanya yang belum menerima senarai calon dari Pulau Pinang.

Ditanya berapa peratus calon muka baharu yang akan ditampilkan pada PRN, beliau berkata ia hanya akan diketahui pada pengumuman yang dijangka akan diadakan minggu depan.

Sementara itu diminta mengulas sama ada terdapat kemungkinan mewujudkan Majlis Kepemimpinan peringkat kerajaan negeri untuk penyandang yang tidak dicalonkan berperanan dalam kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu tiada dalam perancangan parti.

“Saya rasa itu itu tidak sesuai. Saya fikir kita mesti mengikut struktur kerajaan yang betul. Saya tidak menjangkakan ada majlis kepimpinan seumpama itu.

“Saya tidak mahu kerajaan dalam kerajaan. Jadi Ketua Menteri dan EXCO (kerajaan negeri) harus dibenarkan memainkan peranan mereka sebagai kerajaan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment