Bekas KSU calon PN di Dengkil

SEPANG: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jamil Salleh dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan nama calon tersebut malam tadi berkata, Jamil adalah anggota Bersatu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Suhaimi Mohd Ghazali sebagai calon bagi DUN Sungai Pelek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Dua nama saya mahu umumkan lebih awal, calon kita untuk DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi (Mohd Ghazali) iaitu calon Bersatu dan di DUN Dengkil adalah Datuk (Seri) Jamil Salleh.

“Dia (Jamil) baru bersara dari Ketua Setiausaha KPDNHEP,” katanya pada Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu – Kita Bangkit Perikatan Nasional Sepang di Markaz  Tarbiyah Al-Idrisiah, Markaz Pas Labohan Dagang.

Bersara daripada perkhidmatan awam empat tahun lalu, Jamil menggantikan Adhif Syan Abdullah yang menang di kerusi itu dengan majoriti 6,934 undi pada PRU14.

Ketika itu, Adhif yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan Shahrum Mohd Sharif (Barisan Nasional) dan Yusmi Haniff Ariffin (Pas) manakala Sungai Pelek sebelum ini diwakili Ronnie Liu (DAP) yang menang dengan majoriti 6,586 undi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin menjelaskan sokongan terhadap PN di Selangor penting, untuk memberi isyarat jelas bahawa rakyat menolak kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sudah lapan bulan Anwar memimpin negara, tidak ada dasar dan perancangan yang jelas untuk memandu negara keluar dari kemelut ekonomi yang antara lain disebabkan beban dan kesan Covid-19 pada satu ketika dulu.

Katanya, lebih terbeban hari ini apabila ringgit pula jatuh ketika negara perlu mengimport dari luar negara hampir RM80 bilion makanan dan sebagainya.

Harga barang juga naik dan berlaku di mana-mana. Saya tak kata ia mudah (untuk diselesaikan). Tapi yang rakyat harapkan apabila sudah terbentuk kerajaan yang dipimpin Anwar, apa langkah yang wajar dan segera diambil sekarang untuk meringankan bebanan rakyat. Sedikit sebanyak mesti dibuat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment