RUU ambil alih Tebing Barat

BAITULMUQADDIS – Di sebalik ketegasan Presiden Donald Trump, yang tidak akan menyokong pengambilan wilayah di Tebing Barat, ahli Parlimen Israel meluluskan usul bagi menggubal dua rang undang-undang (RUU) bagi mengambil alih atau menjadikan Tebing Barat yang diduduki sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Pengundian itu berlangsung ketika Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, berada di Israel bagi mengukuhkan usaha gencatan senjata Gaza yang diusahakan oleh Trump, yang sebelum ini menegaskan beliau tidak akan menyokong pengambilan wilayah di Tebing Barat.

Rancangan mengambil alih itu adalah satu hasrat yang secara terbuka diperjuangkan oleh menteri-menteri sayap kanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Trump, pada September lalu menegaskan beliau tidak akan menyokong pengambilan wilayah di Tebing Barat.

“Saya tidak akan membenarkan Israel mengilhak (mengambil alih) kawasan Tebing Barat. Perkara itu tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih pada September lalu.

Media Israel melaporkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggesa ahli parlimen daripada partinya, Likud, supaya berkecuali dalam pengundian terbabit.

Dalam satu kenyataan, Likud menyifatkan pengundian itu sebagai provokasi oleh pembangkang, bertujuan merosakkan hubungan pihaknya dengan AS.

“Kedaulatan sebenar tidak akan dicapai melalui undang-undang yang hanya bersifat simbolik, tetapi melalui usaha sebenar di lapangan,” katanya.

Dalam bacaan awal semalam, ahli parlimen mengundi untuk meneliti dua RUU berkenaan, yang bermaksud ia akan dibawa ke peringkat bacaan seterusnya di Knesset.

Teks pertama, yang diluluskan dengan 32 undi menyokong berbanding sembilan menentang, mencadangkan pengilhakan Maale Adumim, penempatan besar Israel yang menempatkan kira-kira 40,000 penduduk di timur Baitulmuqaddis.

Cadangan kedua untuk mengilhak keseluruhan Tebing Barat pula disokong oleh 25 ahli parlimen manakala 24 lagi menentang Knesset, iaitu parlimen Israel, mempunyai 120 ahli.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment