KUALA LUMPUR 13 Julai – Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan mendedahkan ada pihak yang menggunakan ‘kabel’ dalam kalangan pemimpin tertinggi negara untuk membeli syarikat Pharmaniaga Bhd dengan harga murah.
Kata Mohamad, pemilikan syarikat tersebut tidak wajar dilepaskan kepada pihak lain sebaliknya ia boleh diurus oleh pihaknya sendiri selepas Kementerian Pertahanan mengeluarkan berbilion ringgit untuk menjalankan perniagaan.
Justeru, beliau mengambil langkah dengan tidak membenarkan urusan itu berlaku sambil menegaskan jika ada masih berdegil mahukan syarikat berkenaan, mesti ‘langkah mayatnya’ terlebih dahulu.
Katanya, beliau terpaksa ‘bertegang urat’ dalam mesyuarat bersama Jemaah Menteri mengenai hal itu bagi mempertahankan syarikat berkenaan.
“Bagaimana saya bertengkar dalam (mesyuarat) Kabinet, hampir-hampir saja Pharmaniaga hilang konsesinya. You (anda) tanya (Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk (Ahmad) Nazim (Abdul Rahman) dan tanya MOF (Kementerian Kewangan).
“Bukan senang. Sampai ada orang buat bidaan melalui pemimpin tertinggi nak beli syarikat kita. Nak beli murah-murah. Macam-macam.
“Jadi saya cakap tidak. Langkah mayat saya dulu. Biar saya uruskannya. Biar kita sama-sama uruskan syarikat kita dan saya sangat pasti kita boleh bangunkan sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 (MAMPAN 25) di sini hari ini.
Pharmaniaga ialah anak syarikat Boustead Holdings, bergiat dalam industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan bersepadu yang ditubuhkan pada 1994.
Mei lalu, Pharmaniaga Bhd mengumumkan kepada Bursa Malaysia mengenai keuntungannya pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 merosot kepada RM2.65 juta daripada RM27.73 juta pada suku tahun sama sebelumnya.
Perolehan turut berkurangan sebanyak 8.5 peratus kepada RM880.45 juta daripada RM962.17 juta sebelum ini, sebahagian besarnya berikutan permintaan pelanggan yang rendah dalam segmen konsesi dan Indonesia.
Terdahulu, syarikat senaraian awam itu pernah mencatatkan kerugian bersih RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding untung bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya, dengan peruntukan RM552 juta untuk stok vaksin Covid-19 yang bergerak perlahan.
Situasi itu mendorong syarikat bermasalah kewangan itu berada di bawah kategori PN17 atau syarikat bermasalah kewangan.
Perolehan syarikat merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan permintaan lebih rendah daripada kerajaan untuk membeli vaksin Covid-19.
