3R: Polis siasat MB Kedah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R, berkait agama, kaum dan institusi diraja.

Ini termasuk kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ucapan ketika berceramah pada program anjuran PN.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan demikian juga memaklumkan, sejak 27 Mac. Lalu, sebanyak 61 kertas siasatan berkaitan isu 3R dibuka  membabitkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain Muhammad Sanusi, kita turut siasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan membabitkan Muhamad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, dibuka semalam.

Katanya, siasatan dijalankan oleh pasukan khas ditubuhkan Bukit Aman bagi kes-kes sedemikian dan dijangka dapat diselesaikan dengan cepat atau dalam tempoh seminggu.

“Siasatan dijangka ambil masa tujuh hari, kita akan siasat dengan cepat berbanding biasa dengan siasatan dijalankan oleh ‘task force’ 3R.

“Isu 3R ini kerap dimainkan, terutama apabila hampir Pilihan Raya Negeri (PRN). Saya sudah beritahu bahawa perkara-perkara sensitif, apa-apa juga perkara sensitif yang membabitkan 3R, kita akan siasat,” katanya.

Katanya, kes 3R disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kertas siasatan yang sudah lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kadang-kadang ada pihak bercakap terlampau seronok tanpa memikirkan perasaan orang lain, fitnah dan mengaibkan. Apa jua perkara sensitif babit 3R kita akan siasat segera, mana-mana pihak yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, tular video ceramah Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu, PKR Cabang Shah Alam membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat itu.

Related posts

Leave a Comment