Kembalikan prestasi dana persaraan tentera

KUALA LUMPUR 13 Julai –  Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan menggesa pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengembalikan semula prestasi sebagai entiti yang menguruskan dana persaraan warga tentera dengan lebih baik demi memperkasa kebajikan golongan itu.

Katanya, LTAT perlu menjadi pokok yang memiliki madu supaya entiti itu menjadi pujaan ramai yang meletakkan posisi mereka sebagai pengurus dana persaraan yang baik bagi warga tentera.

Beliau berkata, bagi mencapai objektif itu, LTAT perlu beroperasi sebagai entiti yang bermaruah kerana kebelakangan ini sering dianggap bukan lagi produk yang premium dalam pasaran.

Mohamad ketika berucap merasmikan Pelan Strategik LTAT 2023-2023 (MAMPAN 25) di sini hari ini berkata, ramai yang melihat LTAT termasuk subsidiarinya Boustead Holdings Bhd sebagai syarikat yang ‘hidup segan mati tak mahu’.

Menurut Mohamad, syarikat berkenaan tidak seharusnya terlalu selesa, sebaliknya berkembang dan terus meneroka persekitaran yang sudah berubah sekarang.

Dalam masa sama, beliau tidak mahu amanah warga tentera yang menjadi pemegang taruh utama dalam syarikat berkenaan dikhianati kerana wang yang mereka carum itu sangat berharga kerana diperoleh hasil pengorbanan dan titik peluh.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadi ‘dalang’ yang cuba merosakkan syarikat sedang berdepan musibah, umpama merosakkan lagi kapal yang sedang ditenggelami air dengan menebuk lubang sehingga mengakibatkan keadaan bertambah parah.

“Jika kita tidak berubah kita akan lingkup. Tetapi apa yang dibentang dan apa yang dipersetujui itu berlaku adalah sepenuh hati,” katanya.

LTAT dan anak syarikatnya menjadi tabung persaraan pencarum iaitu anggota tentera yang bertungkus-lumus, berkorban jiwa dan raga mereka memberi mandat serta amanah kepada pengurusan untuk menguruskan wang persaraan mereka.

“Apabila mereka bersara nanti, itulah harapan mereka dan jangan khianat amanah ini. Saya ulangi jangan khianati amanah ini kerana ini adalah wang mereka yang mesti diuruskan dengan baik. Kalau tak dapat banyak pulangan pun tak apa. Bagi lima peratus dividen setiap tahun saya sangat gembira,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian teras dalam MINDEF untuk memelihara kebajikan warga tentera.

“Jika di sini tempang, maka sengetlah di sana. Jika saudara saudari tempang berjalan, maka tak dapatlah saya berjalan dengan baik bagi menguruskan MINDEF kerana wang tabungan anggota yang ada dalam tanggungjawab saya adalah saudara dan saudari yang uruskan,” katanya.

Justeru Mohamad mahu kegagahan dan keazaman baharu sebagai tunjang untuk mengembalikan ‘maruah’ syarikat itu.

Beliau mengakui malu jika terus jalan menunduk dengan prestasi syarikat gagal dipulihkan, namun yakin dapat mendongak dengan bangga sekiranya syarikat berkenaan memacu semula kegemilangan organisasi berkenaan di landasan sepatutnya.

“Kalau saya tidak menghentikan musical chair, ia akan runtuh. Kalau kita tak swastakan Boustead Holdings, maka LTAT akan dalam masalah, bahkan Affin Bank pun akan bermasalah. Jadi apa yang kita patut buat?

“Hentikan musical chair supaya penyakit Covid-19 ini tidak berjangkit. Kalau nak kekang isu kena kekang penyakit.

“Kita tanam pokok kelapa sawit di atas lombong emas. Perlukan kita mengekalkan pokok kelapa sawit di atas tanah yang ada emas di dalamnya? Kita kena lombong emas itu. Bagaimana kita nak lombong itu terpulang kepada anda.

“Itu yang saya nak perkatakan.. Kita mesti cari jalan cara bangkit semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment