21 kes baharu, satu kematian di Brunei

BERAKAS 2 Dis. – Brunei Darussalam merekodkan satu kematian dan 21 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 15,132.

Menteri Kesihatan, Dr. Md Isham Jaafar berkata, kes kematian melibatkan seorang wanita berusia 55 tahun yang mengalami pelbagai masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan Covid-19.

Katanya terdapat tambahan 14 kes baharu pada empat kluster kluster aktif yang sedia ada pada hari ini, yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini manakala tiga kluster ditutup selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari menjadikan 124 kluster masih aktif.

Menurut Dr Md Isham, sebanyak tujuh kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Sebanyak 41 kes dilaporkan sembuh yang membawa jumlah kes pesakit sembuh di Brunei Darussalam meningkat kepada 14,606, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 426 kes.

Dalam kalangan kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, satu kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif, yang memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).

Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 4,348 sampel diuji bagi virus  SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 sebanyak 627,848 ujian.

Related posts

Leave a Comment