SELAYANG 13 Julai – Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 meningkat 0.03 mata kepada 2.82, berbanding 2.79 pada 2021 sekali gus mencatatkan PNGK Nasional tertinggi sejak STPM dilaksanakan.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata, seramai 1,184 atau 2.84 peratus calon mendapat PGNK 4.00 dengan jumlah itu mencatatkan peningkatan 310 pelajar manakala 85.22 peratus terdiri daripada golongan B40.
Selain itu, katanya, peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PGNK 3.75 dan ke atas ialah 9.59 peratus, diikuti PGNK 3.00 ke atas dan lebih (42.96 peratus); PGNK 2.75 dan ke atas (56.97 peratus) serta PGNK 2.00 ke atas (89.75 peratus).
PNKG calon dalam suatu peperiksaan STPM dihitung berdasarkan purata nilai gred empat subjek terbaik, termasuk Pengajian Am.
Katanya , seramai 38 calon peperiksaan STPM 2022 mendapat 5A dalam kelima-lima subjek, manakala 1,158 lagi menerima 4A dengan jumlah ini mencatatkan peningkatan berbanding 860 calon, pada 2021.
Seramai 26 calon STPM 2022 yang mendapat 5A dalam kelima-lima subjek terdiri daripada golongan B40, manakala 993 calon yang menerima 4A juga berada dalam kategori sama.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di sini, hari ini.
Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, peratusan calon STPM 2022 lulus penuh dalam lima dan empat subjek meningkat kepada 75.01 peratus, berbanding 73.7 peratus pada tahun sebelumnya..
Secara keseluruhan, katanya, semua 23 subjek ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2022 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
Beliau berkata, tiga subjek dalam STPM 2022, masing-masing Literature in English, Pengajian Perniagaan, dan Bahasa Arab menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus dari segi prestasi Lulus Penuh.
Tiga subjek, masing-masing Bahasa Cina, Kimia, dan Matematik T menunjukkan penurunan melebihi -3.00 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh, manakala prestasi 17 subjek lain tidak berubah kerana beza peratusan calon Lulus Penuh antara 2022 dengan 2021 adalah kurang tiga peratus.
Katanya, MPM juga memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori, masing-masing 11 pelajar terbaik keseluruhan, diikuti kategori B40 (1); Orang Asli (1); Berkeperluan Pendidikan Khas (4).
Mereka akan diberi wang tunai bernilai RM1,000, plak, dan sijil dari MPM, selain pelajar terbaik Berkeperluan Pendidikan Khas kategori buta akan menerima ‘alat bantu’ untuk pembelajaran, sumbangan Persatuan Orang Buta Malaysia.
“MPM juga memberikan anugerah kepada pelajar terbaik ‘Malaysian University English Test’ (MUET) 2022 serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022,” katanya.
Menurut beliau lagi, seramai 43,687 calon berdaftar bagi menduduki STPM 2022 dengan jumlah itu mencatatkan peningkatan 3.11 peratus, berbanding STPM 2021.
Namun, katanya, seramai 41,701 atau 95.45 peratus calon yang hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022 dengan 89.72 peratus daripada jumlah itu adalah golongan B40.
Pada masa yang sama seramai 1,986 calon yang tidak mengambil STPM 2022 dikenal pasti gagal berbuat demikian berikutan beberapa alasan, iaitu sudah mendapat kerja, menyambung pengajian ke diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.
“Sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon yang hadir peperiksaan STPM layak dianugerahkan Sijil STPM, manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon yang tidak layak menerimanya.
“Syarat layak mendapatkan Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu subjek,” katanya.
