Guan Eng sedia beri kerjasama siasatan

BAGAN 10 Julai –  Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedia bekerjasama sekiranya dipanggil pihak polis untuk siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, setakat ini beliau belum dipanggil polis untuk siasatan kenyataannya yang didakwa diputar belit sebuah portal berita yang melakukan terjemahan yang tidak tepat.

Guan Eng berkata, akhbar berbahasa Mandarin yang menjadi rujukan portal berita terbabit sudah mengeluarkan kenyataan berasingan semalam.

“Menurut mereka (akhbar berbahasa Mandarin), portal berita itu membuat terjemahan yang salah dan silap. Bila anda terjemah salah kenapa nak salahkan saya pula. Jelas sekali, kita faham kalau anda tak faham bahasa Mandarin.

“Tapi janganlah dengan sengaja faham tetapi sengaja buat terjemahan silap supaya boleh buat ini sebagai senjata politik untuk jejaskan imej orang,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Guan Eng berkata, apa yang disuarakannya adalah sebuah kuil Hindu lama berusia lebih 70 tahun yang dirobohkan kerajaan negeri Kedah pada 2020 dan bukan seperti yang didakwa.

“Ini mereka cuba manipulasi kata saya yang tidak sebut kuil Hindu tetapi sebut tokong Buddha Cina.

“Selepas itu mereka terus mainkan isu ini, tak cukup dengan itu mereka nak buat laporan polis berdasarkan apa yang saya tak cakap, berdasarkan satu fitnah,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita berkenaan, Guan Eng berkata, pada ketika ini, beliau tidak bercadang berbuat demikian.

Berikutan penjelasan akhbar berkenaan, Guan Eng melalui Facebooknya semalam berkata, laporan polis terhadapnya berhubung isu tokong boleh dianggap melakukan jenayah membuat ‘laporan palsu’ di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Hari ini (semalam) China Press menyiarkan satu laporan khas bahawa MalaysiaNow tersilap dalam terjemahan laporannya kerana saya tidak pernah menyebut tokong Cina ataupun Buddha dalam ucapan saya.

Ini mengesahkan kenyataan saya bahawa ucapan Bahasa Mandarin saya telah diputarbelitkan bahawa “PN berniat merobohkan tokong Buddha atau Cina.” katanya.

Guan Eng juga mengingatkan Ketua Pemuda PN,  Ahmad Fadhli Shaari harus berani membuat laporan polis terhadapnya dan tidak membiarkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan melakukan ‘jenayah membuat laporan polis palsu’.

Related posts

Leave a Comment