Umrah Pakej Rahmah 1.0 Andalusia

KUALA LUMPUR 10 Julai –  Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), menawarkan pakej umrah serendah RM5,590 menerusi Pakej Rahmah 1.0 bagi musim 1445H bermula bulan ini sehingga April tahun depan.

Syarikat pengendali umrah dan haji itu memperkenalkan pakej berkenaan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu lebih ramai masyarakat Islam yang belum pernah menunaikan umrah.

Tawaran itu juga diperkenalkan setelah Andalusia memeterai memorandum persefahaman (MoU) buat julung kalinya bersama penerbangan kos rendah pertama (LCC) dan terbesar di Timur Tengah serta Afrika Utara, Air Arabia.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata, kerjasama itu melengkapkan misi Andalusia untuk terus menawarkan pakej umrah ‘mampu milik’ dengan perkhidmatan yang lengkap kepada jemaah.

Katanya, pakej itu dibuka pada bulan-bulan tertentu sahaja iaitu ketika tiada penerbangan penuh dilakukan dan terbuka kepada bakal jemaah yang belum pernah menunaikan umrah untuk diri sendiri atau ingin menghantar ibu dan ayah.

Beliau berkata, dengan menyasarkan seramai 300 jemaah umrah bagi satu musim, tempat duduk bagi bulan ini dan Ogos untuk Pakej Rahmah 1.0 habis dijual manakala 50 peratus tempat duduk bulan September telah mula dibeli oleh bakal jemaah.

Ida Riswana berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Air Arabia di sini hari ini yang menawarkan hampir 5,000 tempat duduk umrah serta pelancongan bernilai hampir RM15 juta.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Pengurus Serantau Air Arabia Malaysia, Norazura Zaimi.

Menurut Ida Riswana, dengan kerjasama bersama Air Arabia yang menjual tiket harga mampu milik, Andalusia dapat mengurangkan kos pakej umrah sehingga serendah RM6,990 sahaja.

Peluang kolaborasi itu juga katanya ibarat bulan jatuh ke riba kerana ia sejajar dengan motto Andalusia, Sekeluarga Mampu Ke Tanah Suci dan untuk menyantuni seramai mungkin umat Islam yang ingin mengerjakan ibadah umrah.

“Air Arabia bukanlah penerbangan kos rendah biasa-biasa dan kami percaya Air Arabia bakal pesat membangun di rantau Asia tidak lama lagi kerana perkhidmatannya menjangkau 170 destinasi di 50 negara di seluruh dunia,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai syarikat penerbangan itu, beliau berkata, Air Arabia mempunyai ruangan kaki yang cukup luas dan selesa seperti penerbangan komersial yang lain serta hidangan percuma sebanyak dua  kali percuma sepanjang penerbangan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Jeddah atau Madinah.

“Air Arabia turut membekalkan perkhidmatan wifi percuma yang sememangnya jarang-jarang ada dalam penerbangan lain yang membolehkan jemaah berhubung dengan keluarga walaupun ketika dalam penerbangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment