BUKIT BENDERA 10 Julai – Masa depan Pulau Pinang seperti telur di hujung tanduk sekiranya rakyat negeri ini tidak berjaya mengalahkan usaha pihak lawan yang mahu menuntut balik Pulau Pinang untuk Kedah.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sebanyak 1.8 juta rakyat Pulau Pinang harus memastikan masa depan negeri dilindungi daripada mereka yang ingin hapuskan negeri ini.
Katanya, kehidupan yang lebih baik adalah ditentukan oleh diri sendiri dan bukannya oleh Menteri Besar Kedah.
“Jika kita kalah, maksudnya kita kalah untuk masa depan Pulau Pinang. Bagaimana kita hendak bergantung atau percaya PN yang tidak mempunyai apa-apa pelan ekonomi atau pelan pembangunan untuk mentadbir Pulau Pinang dengan baik?
Apa yang mereka ada adalah menggunakan perkauman, ekstremis untuk memainkan sentimen, malah mereka cadangkan mencetak wang dan menghapus kadar faedah yang akan menyebabkan sistem ekonomi kita runtuh,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.
Kenyataan itu adalah antara perkongsian peribadinya semasa Program Sembang Santai di Mandarin Cafe, di Kadun Seri Delima hari ini.
Katanya, Pulau Pinang milik kepada 1.8 juta penduduk di sini dan tiada sesiapa pun dapat menyentuh kedaulatan Pulau Pinang.
“Kita akan berjuang untuknya. Mari kita sama-sama lindungi kepelbagaian kaum di Malaysia dan di Pulau Pinang,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, Mantan ADUN Air Itam, Joseph Ng, mantan ADUN Batu Lanchang, Ong Ah Teong dan mantan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi.
