KUALA LUMPUR 2 Julai- Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin menjelaskan Zaki Yamani, individu yang ‘mendoakan’ tahap kesihatan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tiada lagi kaitan denganya.
Beliau mengakui individu itu pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Angkatan Muda (AMK) ketika beliau memimpin sayap pergerakan pemuda PKR itu pada 2007.
“Meskipun beliau pernah berkhidmat selaku Setiausaha AMK PKR sewaktu saya memimpin AMK pada 2007 yang lampau, itu tidak membawa sebarang perkaitan atau makna pada masa kini dalam mana-mana kapasiti rasmi.
“Oleh itu, dakwaan mengenai perkaitan itu adalah sangat tidak wajar untuk dipolemikkan tanpa asas yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penafian itu sekali gus menyangkal laporan sebuah portal yang mengaitkan beliau termasuk Pejabat Perdana Menteri dengan individu yang membuat hantaran sedemikan di Twitter.
“Pertama sekali, saya menggesa portal berita MalaysiaNow menarik balik dakwaan mengenai kaitan individu tersebut dengan saya mahupun institusi Pejabat Perdana Menteri secara keseluruhannya,” katanya.
Kenyataan itu merujuk kepada seorang pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ yang didakwa ada kaitan dengan Shamsul Iskandar yang bertindak memuatnaik hantaran di platform berkenaan, meminta agar nyawa Abdul Hadi diambil supaya ‘kerosakan’ yang dibuat dapat dihentikan selepas dilaporkan keadaan kesihatannya merosot.
Pengguna Twitter itu juga menulis perkara sama terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini yang kesal dengan perbuatan sedemikian, turut mengarahkan individu terbabit yang dipercayai penyokong partinya memohon maaf atas ciapan berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi yang merosot dan sedang menerima rawatan di hospital.
Shamsul Iskandar menegaskan beliau senada dengan ketegasan Perdana Menteri yang mahu Zaki bertanggungjawab atas kenyataan di platform media sosial itu.
Selain itu, beliau mendoakan kesihatan Abdul Hadi bertambah baik disamping menyuarakan hasrat untuk menziarahi Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu jika berkesempatan.
“Alhamdulillah, komunikasi terjalin baik di samping kami turut diberi perkembangan terkini tentang kesihatan Tan Sri (Abdul Hadi). Mewakili Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri, kami mendoakan keafiatan Tan Sri dan berharap agar ruang berziarah dapat diadakan seusai beliau kembali stabil kelak.
“Isu ini yang turut telah diberi perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ciapan beliau yang memberi gambaran betapa Perdana Menteri begitu berjiwa besar.
“Meskipun pelbagai serangan ke atas beliau (Perdana Menteri), namun beliau tidak cenderung mempolitikkan perihal yang sensitif sedemikian rupa sebagaimana yang ditularkan melibatkan individu berkenaan.
“Justeru saya turut senada dengan Perdana Menteri, menggesa Zaki dapat mengambil tanggungjawab di atas kenyataan beliau tersebut,” katanya.
