Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi Mara

KOTA TINGGI 12 Mac – Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan beliau sendiri menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementerian itu, kelmarin.

“(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah watikahkannya, pada hari Jumaat yang lalu (kelmarin),” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk diminta memberi komen berhubung foto beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” jelasnya.

Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini disandang Azizah Mohd Dun.

Semalam, Asyraf Wajdi memuat naik resume beliau di Facebook dan memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja.

Sebelum ini, beliau menarik perhatian apabila tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Related posts

Leave a Comment