SEPANG 2 Julai – Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat terhadap isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah.
Perdana Menteri berkata, secara umumnya, penugasan kakitangan jabatan imigresen itu di pintu masuk utama negara itu berjalan dengan baik dan agensi itu juga memberi respon sangat baik dan positif, terutama terkait perkara berbangkit sejak beberapa hari lalu ini.
“Saya ingin bagi jaminan siasatan rapi akan dibuat. Tapi umumnya majoriti petugas Imigresen berjalan dengan baik. Cuma ada beberapa masalah kita adakan siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan, akan diambil tindakan sewajarnya.
“Saya cuba teliti langkah diambil setakat ini dan saya lihat Imigresen buat respon yang sangat baik dan positif. Yang harus kita kenalpasti adalah kelompok kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan dengan beberapa pertuduhan. Siasatan rapi akan dibuat,” katanya selepas membuat lawatan mengejut tanpa diringi menteri Kabinet atau orang kenamaan kira-kira 30 minit.
Anwar berkata, perbincangan awal berkaitan beberapa isu dibangkitkan beberapa hari lalu akan dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.
Perdana Menteri hari ini berada di KLIA bagi menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.
Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 1.10 tengah hari.
Beberapa hari lalu, tular gambar dan laporan berita yang mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China, namun ia dinafikan Ahli Parlimen Bintulu itu.
King Sing sebaliknya mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara itu, sehingga mengundang beberapa kenyataan penafian daripada kesatuan dan kakitangan yang mewakili agensi berkenaan.
