Agong selesai tunai ibadah haji

SEPANG 2 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas menunaikan ibadah haji.

Keberangkatan tiba baginda disambut Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Ketua Setiausaha Negara,  Mohd Zuki Ali.

Tidak ketinggalan menyambut keberangkatan tiba keluarga diraja adalah cucunda mereka termasuk Tengku Adam Ibrahim Shah ibni Tengku Amir Nasser dan Tengku Sulaiman Abdullah Shah ibni Tengku Amir Nasser.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta anakanda lain berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun lalu.

Terdahulu, pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada oukul 1.10 tengah hari.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Menerusi catatan Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya, baginda dan Raja Permaisuri Agong dikurniakan keafiatan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu dengan lancar.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas persiapan rapi dan kejayaan menguruskan kira-kira dua juta jemaah bagi musim haji tahun ini.

Catatan itu juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas kesudian menerima 31,000 jemaah Malaysia dan tambahan seramai 1,000 lagi untuk mengerjakan haji tahun ini.

Related posts

Leave a Comment