PN yakin kuasai lima negeri

KOTA BHARU 25 Jun – Perikatan Nasional (PN) yakin dapat menguasai lima negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin.

Beliau berkata gabungan itu yakin dapat mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain turut mengambil alih Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebagai Setiausaha Agung, kita buat analisis boleh dikatakan setiap hari oleh pegawai yang dihantar (ke lapangan) dan Insya-Allah Kelantan, Terengganu dan Kedah kita dapat pertahankan.

“Dengan keretakan yang ada di Selangor dan Negeri Sembilan, Insya-Allah PN boleh ambil alih, manakala Pulau Pinang tidak lama lagi dah.

Justeru, mari kita pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala Selangor dan Negeri Sembilan kita akan ambil alih pada PRN ini. Pulau Pinang pula, kita pakat tumbangkan,” katanya.

Berucap pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Kelantan di sini, malam tadi, Hamzah yakin PN akan mencapai kemenangan besar dengan bantuan jentera yang sudah bersedia dengan gerak kerja.

“Kita akan ‘perang’ habis-habisan, biar lawan gerun dengan jentera kita. Kita pastikan lawan kita dapat kosong (di Kelantan),” katanya pada majlis yang dilancarkan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai kerajaan ‘flip flop’ atau ‘keluk-kelek’.

“Dia kata tubuh Kerajaan Perpaduan, Alhamdulillah sebab dia nak menyatukan rakyat. Namun, kenyataan yang dikeluarkan banyak bohong dan rakyat tidak mahu dengar.

“Macam hari ini, ringgit jatuh dan saya nak bagi tahu kepada mereka, ringgit jatuh sebab kerajaan tidak tahu menentukan dasar yang dibuat untuk kepentingan rakyat dan pelabur,” katanya.

Related posts

Leave a Comment