Teresa Kok tuntut ganti rugi RM25 juta

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengeluarkan surat tuntutan (LOD) ganti rugi berjumlah RM25 juta terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,  Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu pensijilan halal.

Menerusi notis yang dihantar oleh peguamnya, Sankara Nair and Partners, Naib Pengerusi DAP itu juga menuntut Dr. Muhamad Akmal membayar semua kos guaman dan perbelanjaan berkaitan saman tersebut.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau diberi tempoh tujuh hari bekerja untuk memberikan maklum balas.

“Jika anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi,” kata notis itu.

Dalam reaksi segeranya, Dr. Muhamad Akmal bersedia untuk bersemuka dengan Teresa di mahkamah.

“Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear no surrender,” kata Dr. Muhamad Akmal ringkas di media sosial.

Berdasarkan salinan LOD itu, ia merujuk video melalui Tiktok dimuat naik melalui akaun @Drakmalsaleh pada 7 September lalu sebagai respon kepada kenyataan Teresa sehari sebelum itu berkait isu pensijilan halal.

Video itu sehingga tarikh LOD dihantar menerima 720,500 tontonan, dengan 75,000 tanda suka, 9,314 komen dan 8,784 perkongsian semula.

Notis LOD juga merujuk penjelasan lanjut Teresa pada 8 September lalu mengenai pendirian beliau dalam dasar pembikinan sijil halal untuk restoran yang tidak menyediakan daging khinzir dan/atau alkohol.

Katanya lagi, akibat kenyataan TikTok dibuat Muhamad Akmal, beberapa laporan polis dibuat terhadap Teresa yang mengakibatkan beliau disiasat polis di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Komunikasi dan Akta Multimedia 1998 (Akta 588).

Notis itu juga berkata, kenyataan dibuat Muhamad Akmal juga memberi gambaran bahawa Teresa adalah seorang bersifat perkauman, tidak menghormati Islam, tidak mempunyai sebarang pengetahuan khususnya tentang Pensijilan Halal, tidak peka dan jahil, menentang dasar kerajaan mengenai amalan dan agama Islam, merosakkan keamanan dan keharmonian negara serta musuh negara dan tidak setia kepada negara.

Akibat kegagalan, kecuaian dan niat jahat Muhamad Akmal untuk tidak menarik balik kenyataan berunsur fitnah walaupun selepas Teresa mengeluarkan dan/atau menerbitkan penjelasan, menyebabkan Ahli Parlimen Seputeh itu menerima tekanan ketara dan/atau memalukan daripada masyarakat dan menyebabkan beliau disiasat pihak Polis.

Media semalam melaporkan Teresa sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Muhamad Akmal susulan kenyataan balas beliau berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu ‘logo tidak halal’ ditampal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment