KOTA BHARU 25 Jun – Majlis Syura Ulama akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk membincangkan mengenai tapisan senarai calon yang akan bertanding di 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di enam negeri.
Presiden Pas Abdul Hadi Awang, berkata soal pembahagian kerusi sudah selesai dan tiada sebarang masalah besar berkenaan perkara itu, tetapi tapisan mengenai calon sedang berlangsung dan berterusan.
“Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan tentang tapisan calon. Dari segi manifesto pula, ia masih dalam perancangan,” katanya selepas Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin memaklumkan partinya akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri pada PRN nanti, di mana Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, Pas di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi Gerakan.
Sementara itu, mengenai sama ada bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, tercalon bagi PRN kali ini, Abdul Hadi meminta semua pihak menunggu sehingga hari penamaan.
Beliau mengakui akan berlaku kejutan termasuk kemungkinan tokoh UMNO ditampilkan sebagai calon.
“Tunggu hari penamaan calon sama ada nama beliau (Nik Mohamad Abduh) naik atau tidak, akan ada kejutan insya-Allah. Tokoh dari UMNO pun insya-Allah ada,” katanya mengulas desas-desus Nik Mohamad Abduh digugurkan bagi PRN.
