Mahmood Zuhdi meninggal dunia

KUALA LUMPUR 17 Jun – Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 78, meninggal dunia pada pukul 10.20 malam ini.

Berita kematian cendekiawan agama dan pendakwah serta pakar rujukan syariah terkemuka tanah air, dimaklumkan pentadbir laman sosial Facebook rasmi beliau.

“Innalillahi wa innailaihi rajiun. Untuk makluman, Dato Mahmood Zuhdi baru meninggal dunia jam 10.20 malam tadi.

“Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya dalam catatan ringkas yang dikongsi, malam ini.

Jenazah akan dimandikan di Masjid Tun Abdul Aziz (Masjid Bulat) Seksyen 14 Petaling Jaya pukul 9 pagi manakala solat jenazah dijadualkan 10.30 pagi seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Allahyarham yang menjadi Pengerusi MDN sejak 2016, adalah Profesor Emeritus di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham turut menerbitkan beberapa buku syariah termasuk Ke arah Merealisasikan Undang-undang Islam di Malaysia (1998), Pentadbiran Undang-undang Jenayah Islam Malaysia (1999), Wakaf dan Pelaksanaannya di Malaysia (2000) dan Ulama Penggugat Zaman (2004).

Allahyarham juga giat dalam bidang penulisan dan antara artikel dihasilkan ialah Fiqh Malaysia: Konsep dan Cabaran (2000), Peranan Zakat Dalam Pembangunan Ummah (2002) dan Teori Politik Islam: Memahami Siasah Syariah (2003).

Related posts

Leave a Comment