Yakin menang tanpa fakta punca BN kecundang

KUALA LUMPUR 10 Jun. – Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob menolak tanggapan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan bahawa kedudukan UMNO tidak seteruk sekarang jika Dewan Rakyat dibubarkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, PRN dan pilihan raya umum (PRU) adalah dua perkara yang amat berbeza di mana PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN.

Katanya, PRN tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri ketika itu manakala PRU melibatkan isu nasional di mana persepsi terhadap Barisan Nasional (BN) ketika itu secara keseluruhannya masih tidak baik.

Beliau berkata sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, beliau mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.

“Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat Pandemik Covid-19. Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen.

“Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil. Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO itu bahawa kedudukan kerusi UMNO/BN tidak seteruk sekarang jika Putrajaya membubarkan Dewan Rakyat seperti ditetapkan pimpinan UMNO.

Ismail Sabri yang sebelum ini salah seorang Naib Presiden UMNO berkata, hakikatnya pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh Ahmad Maslan yang menyebabkan BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU-15).

“Unjuran UMNO pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk Kerajaan secara solo. Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Ismail Sabri kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15.

“Inilah punca sebenar kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment