PUTRAJAYA 6 Ogos – Peranan penjawat awam yang menjadi tonggak kesinambungan negara tidak boleh diganggu-gugat susulan perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan.
Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik dan memahami konteks yang membentuk dasar kerajaan, namun tidak boleh terheret ke dalam politik kepartian.
“You have to be politically sensitive but you should never become politicized (Anda perlu peka politik tetapi jangan dipolitikkan),” katanya.
Beliau turut menegaskan perlu ada garis pemisah yang jelas antara politik dan pentadbiran, dengan profesionalisme penjawat awam memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara berintegriti dan tanpa memihak.
Katanya, urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat sebaliknya penjawat awam bertanggungjawab memastikan kerajaan terus berfungsi, dasar dilaksanakan, projek bergerak dan perkhidmatan sampai kepada rakyat.
Justeru Ahmad Zahid memberi jaminan akan melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional, daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.
“Saya akan lindungi… saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul. The rest, leave it to me. I know what to do with it (Selebihnya biarkan kepada saya, saya tahu apa perlu dibuat) dan Insya-Allah siapa yang akan pergi, siapa yang diperintah pergi, tengok nanti.
“(Tekanan oleh) ketua yang di atas sana, tak tahu siapa namanya tetapi fahamlah perkara ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perkembangan politik semasa khususnya selepas pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan penjawat awam mengenai kestabilan Kerajaan Perpaduan serta hala tuju pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persaingan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menjejaskan pentadbiran di peringkat Persekutuan.
“Persaingan politik di peringkat negeri tidak akan pernah menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Katanya, walaupun parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh mempunyai perbezaan politik di peringkat negeri, tanggungjawab pentadbiran di peringkat pusat mesti mengatasi perbezaan berkenaan.
“Di negeri boleh kita berbeza pendapat. Tapi bila kita melaksanakan pentadbiran di peringkat pusat, kita mesti tidak ada perbezaan. Kita mesti satu fikrah, satu perasaan dan satu tujuan untuk menentukan rakyat mesti didahulukan dalam melaksanakan urusan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.
Nnnn
