Maaf: Pemuda tidak boleh sembunyi suara akar umbi

KUALA LUMPUR 10 Jun – Pemuda UMNO memberi jaminan kerjasama antara parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tetap berjalan seperti biasa walaupun DAP ‘tidak menyambut’ desakan supaya parti itu memohon maaf.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, kerjasama dengan Pemuda Pakatan Harapan (PH) juga baik dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor , Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Katanya, gesaan mohon maaf itu juga hadir dari suara akar umbi dan bukannya pendirian sendiri Pemuda UMNO, apatah lagi bermotif untuk mencetuskan sebarang sengketa antara parti dalam kerajaan ketika ini.

“Kalau DAP boleh minta maaf dengan GPS (Gabungan Pari Sarawak), tetapi kenapa dengan UMNO tak boleh. Itu alasan kita. Kalau dia tak minta maaf, mungkin ia akan timbulkan rasa ketidaksenangan dalam kalangan ahli UMNO di bawah.

Kita mahu hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), ini (minta maaf) mungkin boleh merendahkan suhu di bawah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Dr Muhammad Akmal bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan kepemimpinan DAP sama ada mahu memenuhi tuntutan pemuda atau tidak, termasuk menilai dari aspek kebaikan dan keburukannya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang diminta mengulas isu itu sebaliknya meminta sayap UMNO itu tidak mengungkit kisah lama sebaliknya fokus kepada usaha untuk memperkukuh Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Dr Akmal menjelaskan kerjasama yang dijalin Pemuda UMNO dengan Pemuda PH tidak akan terjejas dengan isu mohon maaf.

“Saya mahu beritahu dengan jelas bahawa hubungan Pemuda UMNO dan PH atau daripada Kerajaan Perpaduan sangat baik. Bila kita berada dalam PAU, ini medan suara akar umbi. Kami (pemimpin) penyampai saja. Ini (gesaan minta maaf) bukan menunjukkan hubungan kami tak baik.

“Tak ada isu kononnya saya tak boleh kerjasama dengan PH. Tapi dalam hal PAU ini, pemuda kena jelas. Pemuda kena bawa suara akar umbi. Inilah suara yang perlu kami bawa. Kami tak boleh sembunyikan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pendirian Pemuda untuk mengetengahkan hal itu juga dihormati Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Sementara itu beliau mengalukan-mengalukan bekas pemimpin yang dipecat seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk kembali ke pangkuan UMNO jika benar mereka masih setia kepada perjuangan parti itu.

“KJ (Khairy), Datuk Tajuddin ada harapan dalam UMNO. Ini masa untuk orang yang sayang UMNO duduk dan bantu (UMNO). UMNO memerlukan bantuan dan buah fikiran semua pihak, pemilihan sudah pun berakhir,” katanya.

Related posts

Leave a Comment